Rabu, 24 September 2008

pilihan raya JAKMAS AB sesi 2008/2009


NAMA: SITI RAHIMAH BT AMIR HUSSIN
KURSUS: TAHUN 2, PSIKOLOGI KAUNSELING
ASAL: MANJUNG, PERAK
PRINSIP HIDUP: JANGAN SESEKALI TAKUT UNTUK MULAKAN LANGKAH PERTAMA, KERANA IA PERINTIS LANGKAH SETERUSNYA…YOU’RE BORN TO WIN!!

P : PERPADUAN
S : SAHSIAH
I : INTELEKTUAL
K : KEBAJIKAN
O : ORGANISASI

Apa yang dipaparkan di atas ialah poster dan manifesto saya sempena kempen pilihan raya pemilihan JAKMAS sesi 2008/2009. Saya merupakan salah seorang daripada 10 calon JAKMAS kolej kediaman AB iaitu Mohammed Fanshuri Bin Badaruddin, Sharin Abdul Rahim, Julkifflye Bin Abdullah, Faridzul Bin Marukis, Fadzir Anuar, Mohan, Mohd Faiz, Nor ’Atifah Binti Abu Koshin dan saya sendiri Siti Rahimah Binti Amir Hussin. Kami hanya diberikan masa selama satu hari sahaja untuk berkempen. Oleh itu, pelbagai strategi dan teknik yang digunakan sewaktu berkempen untuk memenangi hati warga kolej kediaman bagi meraih undi. Teringat sahabat saya memberitahu, suasana berkempen membolehkan dia melihat pelbagai karekter dan personaliti baru yang ditonjolkan oleh calon JAKMAS. Ada yang sebelum ini malu-malu kucing, tiba-tiba menjadi berani dan ada juga yang selama ini cukup lokek dengan senyuman, tiba-tiba amat pemurah dengan senyuman yang paling manis. Ini semua gara-gara ingin meraih undi. Seperti ucapan saya sewaktu malam manifesto ” berdirinya saya di sini, bukan untuk meminta simpati daripada sesiapa, tetapi untuk meraih undi daripada anda semua”.
Akhirnya, 9 orang calon JAKMAS telah diisytiharkan dengan undian yang tertinggi dimenangi oleh Sharin bin Abdul Rahim. Seorang calon terpaksa disingkirkan kerana kerusi yang ditawarkan oleh pihak HEP hanyalah 9 buah kerusi sahaja. Saudara Mohan terpaksa akur dengan keputusan tersebut...sabar ye...dugaan semua tu..
Tahniah kepada pimpinan JAKMAS sesi 2008/2009. semoga dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin. Nantikan amukan JAKMAS AB !!!

ORGANISASI JAKMAS AB
SESI 2008/2009

YANG DIPERTUA
(EXCO KEBAJIKAN DAN KESELAMATAN)
Mohammed Fanshuri Bin Badaruddin

NAIB YANG DIPERTUA
(EXCO HAL EHWAL WANITA, HELWA)
Nor ‘Atifah Binti Abu Koshin

SETIAUSAHA
Siti Rahimah Binti Amir Hussin

BENDAHARI
(EXCO PEMBANGUNAN ALAM SEKITAR DAN LANSKAP)
Sharin Bin Abdul Rahim


MAJLIS EKSEKUTIF

EXCO KEROHANIAN DAN KEBUDAYAAN
Julkifflye Bin Abdullah

EXCO AKADEMIK DAN KEPIMPINAN
Rommell Ray Maidin

EXCO SUKAN DAN REKREASI
Mohd Nurfaiz Bin Arib

EXCO PERHUBUNGAN KORPORAT (PRO)
Mohd Fadzir Anuar Bin Abdul Majid

EXCO EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN (EEK)
Faridzul Bin Marukis

ramadhan yang mulia

Bulan yang penuh berkah dan rahmat datang lagi. Sebagai umat Islam, kita semua mestilah merebut peluang ini dengan sebaik-baiknya. Lakukanlah sebanyaknya amal soleh serta mempertingkatkan dan memperbanyakkan lagi amal ibadat pada bulan yang mulia ini. Di sini dikemukakan cadangan amalan yang boleh diikuti oleh kita semua.
Di bawah ini disenaraikan satu saranan program untuk umat islam di bulan ramadhan

Seorang yang beragama Islam memulakan harinya, dengan bersahur sebelum masuk waktu subuh. Lebih baik jika ia dapat dilewatkan beberapa ketika sebelum terbit fajar.
Selepas itu boleh bersiap sedia untuk mengerjakan solat subuh, berwudhuk di rumah dan berjalan ke masjid sebelum azan berkumandang
Selepas memasuki masjid, dirikanlah solat dua rakaat(tahiyatul masjid). Kemudian, duduk dan membaca doa atau membaca al-Quran atau berzikir sehingga azan dilaungkan. Cubalah menjawab azan yang dialungkan oleh muazzin dan membaca doa selepas azan. Kemudian, mendirikan solat sunat subuh dua rakaat. Selepas itu, jika masih ada masa terluang, bolehlah membaca al-Quran atau doa sehingga muazzin iqamah untuk mendirikan solat subuh berjemaah.
Selepas menunaikan solat subuh berjemaah, eloklah membaca zikir selepas solat. Kemudian, jika ingin terus duduk di masjid sehingga matahari naik, dia boleh berzikir atau membaca al-Quran kerana itulah amalan Rasulullah S.A.W selepas setiap kali solat subuh.
Kira-kira suku jam selepas matahari naik, sunat mendirikan solat dhuha sekurang-kujrangnya dua raakat. Jika tidak, boleh melengahkan solat sehingga masa yang dipilihnya ketika hari bertambah panas atau mahatari lebih tinggi.
Jika sesiapa terasa ingin tidur sebentar sebelum memulakakan kerja, berniatlah untuk memulihkan tenaga dalam beribadat dan mencari rezeki agar diberi pahala oleh ALLAH. Adalah dianjurkan untuk meniru cara tidur Rasulullah S.A.W.
Setelah semua itu selesai, bolehlah pergi bekerja dan apabila masuk watktu solat zuhur, disunnatkan pergi awal ke masjid dan bersedia untuk menunaikan solat zuhur berjamaah.
Mendirikan solat 4 rakaat(Solat sunat sebelum zuhur). Ia dilakukan dua rakaat diikuti salam, kemudian bangun dan menyambung lagi dua rakaat menjadikannya 4 rakaat beserta dua salam. Selepas mendirikan solat zuhur berjemaah, dirikanlah solat sunat selepas zuhur sebanyak 2 rakaat
Selepas solat, sempurnakanlah segala tanggungjawab ditempat kerja sehingga tiba waktu pulang. Jika masih ada masa terluang, bolehlah tidur sebentar sebelum tiba waktu asar. Jika bimbang terlepas melakukan solat asar berjemaah, bolehlah menyibukkan diri dengan sebarang aktiviti yang sesuai sehingga tiba waktu solat. Sama ada pergi ke pasar untuk mendapatkan keperluan keluarga atau terus ke masjid sehingga selesai mengerjakan solat asar.
Selepas asar, bolehlah melakukan sebarang aktiviti yang sesuai seperti membaca al-Quran atau sebagainya. Jika seseorang itu berasa penat, bolehlah berehat bagi mengembalikan tenaga untuk persediaan solat terawih pada sebelah malam.
Sebelum azan maghrib, bersiap sedialah untuk berbuka. Pada waktu itu, lakukanlah sesuatu yang berfaedah seperti berdoa atau berbual-bual dengan isteri dan anak-anak tentang perkara yang bermanfaat.
Salah satu amalan baik yang boleh dilakukan ialah mengambil bahagian dalam mengagihkan makanan kepada orang yang berbuka puasa. Ini adalah satu nikmat yang tidak diketahui ramai kecuali mereka yang telah melakukannya.
Selepas berbuka, bolehlah terus ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah. Dirikanlah solat sunat selepas maghrib 2 rakaat, kemudian bolehlah kembali ke rumah.
Diharuskan makan makanan yang masih terhidang tetapi jangan terlalu banyak. Kemudian, lakukanlah sebarang aktiviti untuk mengisi masa samaada dengan membaca buku atau berbual-bual tentang perkara yang diizinkan bersama anggota kerluarga. Jangan sekali-kali melakukan perkara-perkara haram pada waktu-waktu begini.
Pada waktu ini biasanya media elektronik menghidangkan program-program menarik yang mengandungi perkara-perkara yang tidak bermoral. Berusahalah untuk mengalih pandangan keluarga terutamanya anak-anak daripada perkara-perkara yang sia-sia.
Bersiap sedia untuk menunaikan solat Isyak. Seelok-eloknya pergilah ke masjid sebelum masuk waktu dan membaca al-Quran atau mendengar sebarang sebarang syarahan jika ada.
Selesai mengejarkan solat isyak, diikuti dengan solat sunat selepasnya, mulakanlah solat terawih bersama imam dengan penuh kusyuk serta menghayati ayat yang dibaca. Jangan berhenti selagi imam tidak berhenti. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya sesiapa yang berdiri(dan solat) bersama imam sehingga selesai, dicatatkan baginya seperti mengerjakan solat sepanjang malam. (Diriwayatkan oleh Abu Daud: 1370 dan lain-lain)

Selepas solat terawih, bolehlah merangka apa-apa program yang sesuai dengan masa dan keadaan serta keperluan peribadi seseorang. Walaubagaimanapun, beri penekanan perkara-perkara berikut:
1. Hindari perubuatan haram dan menutup semua pintu ke arah itu.
2. Pastikan keluarga tidak melakukan perkara haram dan menasihati mereka dengan berhikmah. Contohnya, menyediakan program khusus untuk mereka, membawa mereka melawat tempat yang diharuskan, mengelakkan mereka daripada berkawan dengan orang yang tidak berakhlak dan mencarikan mereka kawan yang berpekerti mulia.
3. Berusahalah untuk tidur awal mengikut cara tidur Rasulullah S.A.W. Selesaikanlah pembacaan al-Quran ataupun mana-mana buku yang belum dihabiskan pada hari itu.
4. Peruntukanlah masa yang cukup untuk bersahur. Berdoa sebanyak mungkin pada waktu ini kerana sepertiga akhir malam adalah masa ALLAH turun. Dia memuji mereka yang memohon keampunan daripadaNya. Dia juga berjanji akan mengabulkan doa dan menerima taubat hamba yang bertaubat kepadanya. Jadi, janganlah melepaskan peluang ini.
5. Pada hari jumaat di bulan ramadhan. Jumaat adalah hari terbaik di dalam seminggu. Jadi, kita hendaklah mempunyai jadual khas untuk beribadat pada hari ini. Cuba lakukan perkara berikut:
6. Datang awal ke masjid untuk mendirikan solat jumaat.
7. Berusahalah untuk berada di masjid selepas solat asar dan mengisinya dengan membaca al-Quran dan berdoa sehingga waktu-waktu terakhir hari itu. Pada masa inilah doa dimakbulkan. Ambillah peluang pada hari ini untuk melengkapkan segala amalan yang tidak sempat disempurnakan sepanjang minggu.
8. 10 hari terakhir ramadhan. 10 hari terakhir meliputi malam al-Qadar yang merupakan malam terbaik daripada seribu bulan.Maka, disunatkan beriktikaf di dalam masjid pada masa ini sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Melakukan iktikaf pada waktu ini merupakan satu rahmat besar daripada ALLAH. Sesiapa yang tidak mampu melakukannya sepanjang 10 hari, cubalah dapatkan sebanyak yang termampu. Hidupkanlah malam ini dengan mendirikan solat, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa. Sebaiknya berehat pada siang hari agar mudah berjaga pada sebelah malam.
9. Program ini hanyalah satu cadangan. Ia boleh diubah dan setiap orang boleh menyesuaikannya mengikut keadaan. Apa yang disenaraikan di sini lebih menumpukan kepada amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. Ini tidak bererti setiap yang disebut di sini mesti dibuat dan diwajibkan. Ia hanya meliputi banyak perkara yang berbentuk sunnah dan amat digalakkan. Sebaik-baik amalan disisi ALLAH ialah yang berterusan sungguhpun sedikit. Pada awal bulan ramadhan lazimnya seseorang sangat cenderung melakukan amal ibadat, kemudian keghairahan menurun sedikit demi sedikit. Berjaga-jagalah dari keadaan itu dan bertekadlah untuk sentiasa beristiqamah pada bulan yang berkat ini. Umat Islam hendaklah berusaha untuk mengatur masanya dalam bulan ini agar tidak terelpas peluang untuk melakukan amalan soleh. Berusaha untuk membeli segala keperluan keluarga sebelum masuk bulan ini. Pilihlah waktu yang sesuai untuk melawat kawan dan saudara mara agar amal ibadat pada bulan ini tidak tergangu.
10. Beribadatlah sebanyak mungkin dan dekatkanlah diri kepada ALLAH.
11. Bertekadlah dari awal bulan untuk pergi ke masjid di awal waktu agar dapat mengerjakan solat berjemaah dan memperbanyakkan qiamullai serta bersedekah.
12. Ambillah sebaik peluang dalam bulan ramadhan untuk mengukuhkan hubungan dengan al-Quran melalui kaedah berikut. Membetulkan bacaan. Cara yang betul untuk memenuhi tuntuan ini ialah dengan mendapatkan seseorang yang pakar dalam membaca al-Quran atau mendengar kaset qari-qari yang terkenal. Mengulangi setiap ayat yang dihafal untuk meningkatkan daya ingatan.

o Membaca buku-buku tafsir, seperti Tafsir al-Baghawi, Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir al-Sa’di. Mulakan dengan juzuk ke-30 diikuti dengan juzuk ke-29 dan seterusnya.

o Bertekad untuk menyempurnakan segala tuntutan ALLAH sebagaimana yang terdapat dalam ayat yang dibaca.

o Semoga ALLAH melengkapkan kepada kita keberkatan ramadhan dan membantu kita untuk mengerjakan ibadat puasa dan qiamullai sepenjang bulan. Juga menerima segala amalan kita serta mengampunkan dosa yang kita lakukan.

Selasa, 9 September 2008

kasih sayang menurut islam

Kasih sayang adalah satu sifat yang terpuji yang amat digalakkan bagi setiap individu muslim yang mengamalkannya dalam kehidupan. Setiap insan mahu diri mereka disayangi. Oleh itu wujud sistem kekeluargaan dalam masyarakat yang berteraskan kasih sayang ini untuk kehidupan yang aman damai. Apabila sifat kasih sayang mula luntur ditambah pula sifat dendam dan kebencian, ianya akan menjanjikan kehancuran kepada sesuatu bangsa atau masyarakat.
Dalam ajaran Islam terdapat banyak ayat Al-Quran dan Hadis yang menyeru ke arah memupuk semangat kasih sayang antara sesama Islam. Pernah Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang berbunyi:
Maksudnya: “ Orang Mukmin itu mengasihani saudaranya seperti mana ia mengasihani dirinya sendiri. “
Inilah sebabnya baginda Rasulullah s.a.w menyatupadukan golongan Aus dan Khazraj yang berperang lebih dari seratus tahun, semata-mata melalui perasaan kasih sayang. Malah kehadiran orang Muhajirin disambut dengan hati yang terbuka oleh orang Ansar, dengan penuh rasa simpati dan kasih sayang yang amat mendalam. Sifat pengorbanan juga jelas kelihatan di kalangan para sahabat yang sanggup berkongsi apa jua kesenangan dan kesusahan dalam kalangan mereka. Inilah faktor utama kewujudan sebuah masyarakat dinamik yang muncul di tengah Kota Madinah, walaupun kota tersebut sebelum ini diselaputi dengan prasangka buruk dan kebencian sesama Arab Madinah. Malah ia juga dapat meningkatkan taraf dan kedudukan masyarakat Arab Madinah yang sebelum ini hanya bekerja sebagai petani dan peladang, kepada suatu kedudukan yang dihormati. Peranan orang Muhajirin yang banyak berkongsi pengalaman dan kemahiran juga telah membawa perubahan yang ketara dalam kehidupan masyarakat Kota Madinah.
Jelaslah bahawa Rasulullah s.a.w telah dapat menyusun masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bangsa dan agama dengan konsep kasih sayang dan tolerensi yang telah membawa satu kekuatan yang utuh. Kota Madinah pernah diserang oleh musuh, namun dengan semangat kerjasama dan pengorbanan yang tinggi, dapat ditangkis segala serangan tersebut. Kalau sebelum ini Kota Madinah telah dikuasai ekonomi dan maruahnya oleh orang Yahudi, maka kehadiran Muhajirin telah membantu umat Islam ketika itu meningkatkan taraf hidup dan pemikiran mereka untuk berdikari dan berusaha bersungguh-sungguh. Akhirnya ladang dan harta orang Ansar yang tergadai ke tangan orang-orang Yahudi itu telah dapat mereka tebus kembali. Maka tepatlah sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
Maksudnya: “ Orang Mukmin ibarat sebuah bangunan yang masing-masing berpaut satu sama lain. “
Apabila kita meninjau akan kelemahan kita masa kini serta perpecahan yang berlaku ke atas umat Islam, puncanya ialah kita tidak lagi meletakkan semangat kasih sayang dalam pergaulan kita sehari-hari. Akibatnya mudahlah musuh Islam menyebarkan pelbagai hasutan dan propaganda agar umat Islam terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, yang akhirnya membawa kepada kejatuhan umat dan negara Islam itu sendiri. Ini amat menguntungkan musuh-musuh Islam, lagi memudahkan mereka merampas hak dan tanah air kita dengan cara memperalatkan sesama kita. Malah dalam sejarah bangsa Melayu, pernah kita mengajak Inggeris, menyediakan kelengkapan perang untuk menjatuhkan sesama Melayu. Akibatnya negara kita dijajah.
Masyarakat yang kita harapkan ialah sebuah masyarakat yang penuh dengan semangat kasih sayang serta kerjasama, dapat mengembalikan maruah dan kekuatan perpaduan sesama Muslim. Apa yang penting ialah nilai-nilai kasih sayang perlu diberi perhatian utama dalam pembentukan sahsiah Muslim, seterusnya diserap dalam keluarga dan masyarakat kita.
Sifat-sifat keji yang menjurus kepada kebencian hendaknya kita hindari dari terus tersemat di dalam masyarakat kita. Antara sifat buruk itu ialah suka mencaci sesama Islam, mengadu domba, membuat fitnah dan sebagainya. Ini ternyata akan merugikan kita kelak dan Baginda Rasulullah s.a.w sendiri melarang sifat buruk tersebut. Baginda dengan tegas telah menyatakan di dalam sabdanya yang berbunyi:
Maksudnya: “ Orang mukmin tidak suka mengutuk-ngutuk.” (Riwayat Tarmidzi)
Malah banyak lagi hadis yang melarang segala sifat keji ini. Antara punca lahirnya sifat-sifat keji itu ialah:
1. Hilang rasa malu dan rendah diri kita terhadap segala perkataan dan perbuatan kita.
2. Meletakkan nafsu dan dorongan rasa benci terhadap saudara kita.
3. Rasa benci dan ketidakpuasan hati kita yang telah mengawal akal dan hati kita.
Akibatnya lahirlah satu gerakan yang bermula dari individu, seterusnya menjadi satu golongan yang besar yang membawa kepada rasa kebencian sesama kita demi kepentingan individu tertentu. Maka ketika itu mudahlah musuh mengeksploitasikan orang Islam untuk kepentingan mereka. Maka jatuhlah kerajaan dan negara umat Islam seperti di Indonesia, negara-negara Arab dan Afrika yang hanya memikirkan cara untuk menghapuskan saudaranya sahaja, bukan untuk membantu dan meningkatkan maruah serta martabat bangsa mereka sendiri.
Oleh itu marilah kita bersama-sama dengan semangat kasih sayang yang pernah menjanjikan kebahagiaan kepada kita dan melupakan segala kesengsaraan. Biarlah kita semai diri setiap kita dengan hati yang jujur lagi ikhlas, dengan ajaran yang murni semoga berkekalan hingga ke generasi anak cucu cicit kita seterusnya. Banyak tanggungjawab kita yang belum selesai dan sesungguhnya kebencian tidak pernah menjanjikan kebahagiaan kepada sesiapa pun jua.

Rumusan
Kasih sayang membentuk jiwa dan hati kita supaya menjadi halus dan suka kepada kedamaian dan kesejahteraan. Semoga semangat itu terus menjadi teras pembina akhlak anak kita di rumah. Biarlah cerita dan andaian ke arah kebencian antara kita dihentikan. Semoga tidak merosakkan hati kita dan anak-anak kita.